Tengkarah Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia

Pada 29 Jun 2020, sebanyak 21 laporan polis telah dibuat berhubung kulit depan buku terbabit yang didakwa menghina Jata Negara Malaysia dengan rekaan yang terubah suai secara tidak wajar. Kulit buku terbabit dikatakan "seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara". Kulit buku tersebut memaparkan sebuah lambang yang mirip dengan Jata Negara dengan menambah lukisan seorang kanak-kanak tanpa pakaian di bulan dan bintang manakala awan-awan[10] di bawah jata pula digantikan dengan seekor buaya.[11] Laporan ini susulan tularnya buku terbabit di media sosial Facebook pada hari yang sama.[1][12] Antara pihak yang membuat laporan termasuklah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Puteri UMNO Malaysia, Kimma, MCA, MIC dan Ameerah PAS.[13][14][15] Ekoran hal terbabit, Chong Ton Sin selaku pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya telah memohon maaf dan menerangkan bahawa perkara tersebut "bukan disengajakan". Jelasnya lagi, gambar berkenaan merupakan lukisan yang pernah dipamerkan di Sarawak pada beberapa tahun sebelum itu.[16] Lukisan yang digunakan itu dikatakan turut dipamerkan pada pameran seni terbuka di galeri di Kuala Lumpur pada tahun 2014 serta telah dijual. Dilaporkan juga bahawa penggunaan lukisan tersebut diatur antara pelukis dan pengarang buku tersebut.[17]

Pada jam 3 petang 30 Jun,[18] sebuah serbuan polis dilakukan terhadap syarikat percetakan yang terlibat di Petaling Jaya. Hasil serbuan tersebut mendapati sebanyak 1,000 naskhah buku telah dicetak dan sebanyak 687 naskhah telah dijual secara dalam talian; 313 naskhah yang selebihnya telah dirampas oleh pihak polis. Turut dinyatakan bahawa pihak polis telah menerima sebanyak 32 laporan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.[19] Pelakar kulit depan buku terbabit turut dikenal pasti.[20]

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menyarankan agar penerbit buku tersebut menghentikan penerbitan buku tersebut atau mengubah kulit depannya.[21] Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengecam penggunaan lambang terbabit serta menyatakan bahawa Jata Negara sebagai antara simbol kebangsaan tidak sepatutnya diubah suai sewenang-wenangnya.[22]

Begitupun, Lawyers for Liberty (LFL) mempertahankan buku terbabit dengan menyatakan bahawa Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 hanya menghalang penggunaan Jata Negara tanpa kebenaran bertulis Menteri manakala penggunaan berseni sepertimana yang terpapar pada kulit buku terbabit tidak dihalang. LFL turut menambah bahawa seni lukis terbabit telah lama dihasilkan malah dipamerkan ketika pameran seni di Kuala Lumpur pada tahun 2014 iaitu semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). LFL turut mendakwa bahawa tengkarah yang berlangsung ini merupakan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.[23]

Pada 1 Julai, buku tersebut telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia berdasarkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.[3][12][24]

Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP) Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Muhamad Zuhaili Saiman berkata, penerbitan buku itu merupakan isu sangat besar dan sensitif apabila terdapat unsur yang jelas menghina negara dan mengubah Jata Negara kepada imej tidak wajar merupakan tindakan keji dan jahat.[25]

Rujukan

WikiPedia: Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia http://malaysiainstitute.anu.edu.au/publication/bo... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/hina-jat... //www.worldcat.org/oclc/1140367666 https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1855571 https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1855964 https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1856097 https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1856722 https://www.chanhori.com/telling-tales https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.gerakbudaya.com/rebirth-reformasi-resi...